Rahsia Ucapan Salam - Bahagian I

Setiap bangsa dan agama mempunyai adat menyapa yang tersendiri sewaktu bertemu. Islam telah meletakkan perkataan “ASSALAMU ALAIKUM” sebagai ucapan rasmi bagi umatnya ketika di awal pertemuan atau di awal perbualan. Meskipun ucapan “Assalamu alaikum” itu kedengaran amat ringkas, namun perkataan itu merangkumi segala falsafah kesejahteraan. Juga merupakan salam persaudaraan antarabangsa tanpa mengenal bangsa dan keturunan. Barisan kalimah salam itu sendiri tidak dapat mengubah ucapan salam itu kepada bahasa mereka, malah terus mengekalkannya dengan bahasa yang asal iaitu bahasa Arab.
Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis ada menyebut: “Ungkapkanlah salam kepada orang yang engkau kenal dan juga tidak kenal”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis tersebut menunjukkan Islam menggalakkan umatnya supaya sering melafazkan ucapan salam kepada saudara-saudara se-Islam tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan keturunan, pangkat dan darjat serta tidak mengira telah mengenali atau tidak antara satu sama lain. Galakan sedemikian adalah semata-mata untuk memupuk perasaan muhibbah dan kasih sayang sesama Islam bagi mewujudkan kesatuan yang erat, perpaduan yang kukuh dan perhubungan yang rapat.
Ucapan salam dilafazkan oleh seseorang samada ketika berjumpa saudaranya di perjalanan, di pasar, di perhentian bas, pejabat atau di mana-mana sahaja. Rasulullah s.a.w menyarankan di dalam hadisnya: “Apabila seseorang daripada kamu berjumpa dengan saudaranya, maka ucapkanlah kepadanya salam”.
Seseorang yang hendak berpisah dengan saudaranya atau meninggalkan sesuatu majlis juga turut dituntut mengucapkan salam sebagai ucapan perpisahan kepada individu atau kumpulan yang ditinggalkan. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Andai kamu hendak masuk sesuatu majlis, maka ucapkanlah salam dan berikanlah salam sekali lagi apabila kamu bangun keluar meninggalkan majlis”.
Ucapan salam juga sunat dilafazkan sewaktu hendak memasuki masjid, rumah sendiri atau rumah orang lain meskipun tidak ada orang di dalamnya. Ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “Ucapkanlah salam sewaktu memasuki rumah untuk diri kamu sendiri sebagai doa selamat, mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat kurniaan yang baik lagi diberkati kepada kamu”.
FirmanNya lagi bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya”. (Surah An-Nur ayat 27).
Ucapan salam mestilah dengan lafaz “Assalamu alaikum” yang bermaksud kesejahteraan keatas kamu, dan menjadikewajipan pula kepada penerima salam membalas dengan lafaz “Wa alaikum mussalam” yang bermaksud demikian juga kesejahteraan ke atas kamu.
...(bersambung bahagian ke-2).
http://maelburger.blogspot.com