Rahsia Ucapan Salam - Bahagian II


Salam bukan sahaja terhenti kepada orang yang masih hidup, malah orang yang telah mati juga wajar diucapkan salam kerana ucapan salam itu sebagai satu doa kepada mereka. Dalam konteks ini, dapat digambarkan bahawa hubungan silaturrahim sesama Islam tidak putus walaupun telah meninggal dunia.
Memberi salam hukumnya sunat, manakala menjawabnya adalah wajib berdasarkan firman Allah: “Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)”. (Surah An-Nisa’ ayat 86).
Menjawab salam dalam majlis keramaian adalah fardu kifayah, iaitu memadai hanya seorang atau sebahagian yang hadir sahaja menjawabnya. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesuatu kumpulan yang lalu di suatu tempat dan mereka menemui orang Islam, maka memadai seorang daripada mereka mengucapkan salam. Demikian juga sesuatu kumpulan dalam majlis andainya ada orang memberi salam kepada mereka, maka memadailah seorang sahaja antara mereka menjawab”. (Riwayat Abu Daud).
Menjawab salam yang dikirimkan oleh orang yang jauh juga wajib dijawab. Seorang ulamak terkenal bernama Abi Zakaria Yahya mengulas sebagaimana katanya:
“Apabila seseorang mengutuskan salam kepada seseorang yang lain, maka si pembawa hendaklah berkata : “Si fulan mengucapkan (mengirimkan) salam kepada anda”, penerima hendaklah menjawab seberapa segera dengan berkata: “Alaika wa alaihissalam”. (padamu dan padanya jua kesejahteraan).
Berhubung dengan perkara ini, Rasulullah s.a.w pernah didatangi oleh seorang lelaki yang menyampaikan ucapan salam daripada bapanya, maka Rasulullah spontan menjawab: “Kesejahteraan jua keatas kamu dan bapa kamu”.
Pada dasarnya hukum memberi salam itu sunat, tetapi dalam beberapa ketika dan keadaan, hukum tersebut akan menjadi makruh seperti memberi salam kepada orang yang membuang air atau sedang bersetubuh. Makruh juga diucapkan salam kepada orang yang sedang tidur, mengantuk, sedang sembahyang, sedang berada dibilik mandi dan orang yang sedang makan, dimana mulutnya penuh dengan makanan. Dalam keadaan ini, penerima salam tidaklah diwajibkan menjawabnya, malah haram sekiranya sedang bersembahyang.
Imam Nawawi dalam kitabnya “Al-Azkar” telah menerangkan dengan lebih lanjut lagi tentang hukum memberi salam dan menjawab salam dimana ia telah dibahagikan kepada beberapa bahagian:
a. Lelaki muslim yang tidak dikenali sebagai fasik dan tidak melakukan bida’ah maka sunat memberi salam kepadanya dan wajib menjawab salam yang diberikan olehnya.
b. Bagi perempuan dengan perempuan sama halnya seperti lelaki dengan lelaki, iaitu sunat memberi salam dan wajib menjawabnya.
c. Bagi perempuan dengan lelaki pula perlu dilihat kepada dua keadaan. Keadaan pertama sekiranya perempuan itu isteri, hamba atau muhramnya, maka hukumya sama seperti biasa. Keadaan kedua pula sekiranya perempuan ajnabiah (bukan muhram) dan memiliki rupa paras yang cantik dan boleh menimbulakan fitnah, maka tidak harus bagi lelaki memberi salam kepadanya dan demikian juga sebaliknya. Hukum menjawabnya pula tidak harus bagi perempuan dan makruh bagi lelaki.
d. Bagi perempuan yang sudah tua dan lemah serta tidak ditakuti fitnah lagi, maka harus ia memberi salam kepada lelaki dan harus pula lelaki menjawabnya. Begitu juga sebaliknya.
e. Seorang lelaki dibolehkan memberi salam kepada kumpulan wanita yang ramai dan sekumpulan lelaki yang ramai juga harus memberi salam kepada seorang perempuan dengan syarat tidak mendatangkan fitnah bagi kedua belah pihak.
f. Haram memberi salam kepada orang-orang Yahudi daN Nasrani, demikian juga haram menjawab salam daripada mereka. Rasulullah bersabda: “Jangan kamu memulakan salam pada orang Yahudi dan Nasrani”. (Riwayat Abu Hurairah), dan sabda baginda lagi: “Apabila Ahli Kitab memberi salam kepada kamu, maka jawablah – wa’alaikum’.
g. Sunat memberi salam dalam majlis yang bercampur antara umat Islam dengan penganut agama-agama lain dengan niat khusus ditujukan kepada orang-orang Islam sahaja.
Seperkara yang tidak patut dilupakan disini ialah mengenai adab atau peraturan –peraturan yang baik memberi salam.
.......bersambung
http://maelburger.blogspot.com