Rahsia Ucapan Salam - Bahagian III

Dalam hal ini Rasulullah bersabda maksudnya: “ Orang yang menaiki kenderaan mengucapkan salam terlebih dahulu kepada orang yang berjalan, orang yang berjalan kepada orang yang duduk, dan pihak yan sedikit kepada kumpulan yang ramai”. Dalam hadis yang lain pula: “Orang yang kecil memberi salamkepada orang yang besar, orang yang berjalan kepada orang yang duduk, dan kumpulan yang sedikit kepada kumpulan yang ramai”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan dua hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa, seorang anak perlu memberi salam terlebih dahulu kepada bapanya, seorang isteri kepada suaminya, seorang murid kepada gurunya, seorang pekerja kepada majikannya dan seorang rakyat kepada pemimpinnya. Andainya berlaku sebaliknya tidaklah pula sampai menjejaskan hukum memberi salam. Terdapat juga kes dimana kedua-dua belah pihak mempunyai kedudukan yang sama seperti dua orang murid yang sama-sama sedang berjalan. Dalam hal ini Rasulullah menjelaskan:
“Sesungguhnya orang yang lebih utama di sisi Allah ialah yang memulakan memberi salam kepada orang lain”. (Riwayat Abu Daud).
Berlumba-lumba untuk mendahulukan salam merupakan satu tuntutan dan amalan. Menanti pihak lain memberikan salam terlebih dahulu amat tidak baik kerana ia memungkinkan lahirnya perasaan tinggi diri di dalam hati yang mana sifat-sifat tersebut boleh menjejaskan amalan –amalan murni yang lain.
Hikmah utama salam ini digalakkan ialah kerana ia merupakan alat paling berkesan untuk menyuburkan perasaan muhibbah antara satu sama lain, sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w:
“Kamu tidak akan masuk ke syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih-kasihan. Sukakah kamu aku tunjukkan satu perkara yang mana bila kamu melakukannya, kamu akan menjadi berkasih-kasihan? Maka para sahabatmenjawab: ‘Ya’. Rasulullah menyambung: Ucapkanlah salam sesama kamu”. (Riwayat Abu Hurairah).
Profesor Dr Hamka dalam bukunya ‘Falsafah Hidup’ ada mencungkil rahsia ucapan salam di dalam Islam. Petikan yang menarik di dalam tulisan beliau ialah: “Lantaran ucapan ini, terpeliharalah pertalian di dalam agama, tali persaudaraan, dan hapuslah dengan sendirinya dendam dan sakit hati, hati yang tadinya hendak membenci telah dipaksa oleh lidah supaya tunduk, tunduk kepada perdamaian dan kebahagiaan”.
Kesimpulannya, ucapan ‘Assalamualaikum’ adalah sebaik-baik ucap selamat yang tidak dapat ditandingi oleh sebarang ucap selamat yang diajarkan oleh mana-mana tradisi dan kebudayaan dalam dunia ini. Pengertiannya sangat indah, tinggi dan mulia di mana ia melambang cita-cita Islam yang inginkan perdamaian dan kesejahteraan hidup bersama di bawah ikatan persaudaraan yang sangat luas.
Wasalam...

http://maelburger.blogspot.com