Hadis Berkenaan Ramadhan - Bahagian II


Hikmah Kewajipan Membayar Zakat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah telah memfardhukan zakat sebagai pembersihan terhadap harta.”

(Riwayat Bukhari)

Huraian :
Harta juga adalah merupakan suatu unsur yang memerlukan pembersihan dan penyucian kerana dalam proses mendapatkan dan mengembangkan harta ia sering terdedah oleh perkara-perkara yang syubhat.

Zakat merupakan alat untuk menyucikan harta demi menghindari keburukan dan kejahatan yang terkandung di dalamnya.

Tujuan zakat dalam syariat adalah untuk memenuhi keperluan golongan fakir miskin, orang yang dibebani hutang dan para musafir dan juga sebagai tunjang kepada kemaslahatan kaum Muslimin seperti untuk berjihad di jalan Allah, sebagai sumbangan kepada muallaf yang baru memeluk Islam dan pertolongan kepada kaum keluarganya serta perkara-perkara yang boleh mengukuhkan agama dan kedaulatan negara Islam.

Islam berprinsip bahawa seluruh harta pada hakikatnya hanyalah milik Allah SWT. Manusia adalah ditugaskan untuk memegang harta tersebut dan zakat yang diwajibkan itu berfungsi sebagai satu jaminan sosial dalam Islam.


 Orang-orang Yang Berhak Menerima Zakat.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda:

“Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.
( orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)”

(Imam Ahmad)

Huraian :

Golongan Fakir miskin adalah orang-orang yang hidupnya susah yang terdesak sehingga terdorong meminta sedekah ke sana ke mari.

Terdapat segelintir fakir miskin yang hidupnya sentiasa lapar dan menderita, dan mereka pula tidak rela mengadukan hal kepada orang lain. Keadaan mereka yang menyedihkan itu tidak diketahui umum. Golongan inilah sebenar-benarnya yang miskin, dan merekalah yang lebih layak menerima zakat.

Golongan yang berhak menerima zakat terbahagi kepada lapan asnaf, mereka ialah: orang fakir, orang miskin, amil, golongan muallaf, hamba abdi, orang yang menanggung hutang untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir.

Mereka yang layak menerima zakat pula disyaratkan antaranya; beragama Islam, bukan orang yang ditanggung nafkahnya dan bukan dari keturunan Nabi Muhammad SAW.

-vf