Hadis Berkenaan Ramadhan - Bahagian V

Sunat Melambatkan Waktu Bersahur.
Daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: “Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah SAW, Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda:


“Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh)”. 

Baginda pun menjawab:

“sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian :

Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.

Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat al-Quran.

Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.


Lailatul Qadar Turun Pada Malam Ganjil.

Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata:
“Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: 


“Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.” 

(Riwayat Muslim)

Huraian :

Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turun padanya Malaikat Jibril dan malaikat-malaikat yang lain ke bumi dengan perintah Allah.
Setiap ibadat yang dilakukan bertepatan pada malam lailatul qadar dengan penuh ikhlas, insya Allah amalannya akan diterima oleh Allah dan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.