Ulama bersetuju al-Quran mula diturunkan
pada Ramadan, namun tarikhnya kurang jelas. Ahli Sunnah wal Jamaah menerima
pendapat, al-Quran diturunkan pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Oleh itu, 17
Ramadan dirai sebagai hari turunnya wahyu (Nuzul al-Quran) buat pertama
kalinya.
Pada malam itu, ketika Nabi Muhammad SAW sedang berada di Gua Hira surah
al-Alaq, ayat 1 hingga 5 diturunkan. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu
rakaman sejarah sehingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap
seperti kitab al-Quran yang ada hari ini.
Al-Quran mukjizat terbesar Rasulullah
SAW yang memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutama yang serius
memikirkan rahsia al-Quran. Kalimah al-Quran sering dicantumkan dengan rangkai
kata al-Quran mukjizat akhir zaman atau al-Quran yang mempunyai mukjizat.
Inilah sebenarnya kelebihan al-Quran yang tidak ada satu perkara pun tertinggal
atau dengan lain perkataan, segala-galanya ada dalam al-Quran.
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi
manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali
sebagai an-Nur bererti cahaya menerangi, al-Furqan (dapat membezakan antara hak
dan batil) dan az-Zikr (memberi peringatan).
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan
malam lailatulqadar mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain seperti
diterangkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam
lailatulqadar, dan apa caranya engkau dapat mengetahui apa kebesaran malam
lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada
malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa
segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah
malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (Surah al-Qadr, ayat 1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu laporan daripada
Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW menyebut empat orang bani Israel
yang beribadah kepada Allah SWT selama 80 tahun.
Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah SWT, lalu sahabat kagum dengan
perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW
menyatakan Allah SWT menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka.
Jibril pun membaca surah al-Qadr. Jibril berkata kepada Rasulullah SAW, ayat
ini lebih baik daripada apa yang kamu kagumkan ini dan menjadikan Rasulullah
SAW dan sahabat amat gembira.
sumber : Bharian
sumber : Bharian