Dalam Islam, amanah adalah salah satu sikap terpuji yang jelas dan
terang telah dinyatakan bahawa amanah itu sangat penting dalam menjalani
kehidupan seharian.
Kepentingan sikap amanah ini dalam kehidupan kita untuk menjadi orang mukmin
yang baik amat jelas terbukti di antara 4 sikap terpuji para nabi dan rasul
iaitu Siddiq (Benar), Amanah, Tabliq (Menyampaikan)dan
Fatanah (Bijak).
Amanah menuntut kita sebagai Umatnya untuk melakukan apa saja dengan amanah,
tidak kira amanah dalam memenuhi tuntutan sebagai Hambanya, sebagai umatnya,
terhadap keluarga, masyarakat, diri sendiri dan pekerjaan dilakukannya.
Dalam konteks memenuhi amanah di dalam pekerjaan, pekerja yang bekerja dibayar
gaji oleh majikannya perlu sedar ke atas akad (perjanjian) menerima tawaran
kerja sebelum ini agar amanah dilakukan dalam pekerjaan tidak terkeluar
daripada landasan sebenar mengapa kita menerima pekerjaan yang ditawarkan
sebelum ini.
Jika niat kita baik menerima pekerjaan keranaNya, ianya akan melahirkan sikap
amanah yang bertapak dihati sampai bila-bila. Tetapi jika niat selain daripada
Kerana-Nya, maka sikap amanah yang sepatutnya hadir di dalam hati hamba-Nya
akan terhakis dengan kelalian diri kita sendiri, akibat mengkhianati amanah
yang diberikan.
Berintegriti dalam menjalankan tugas |
Dalam Surah Al-Anfal ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang
membawa maksud;
"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah
dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan
kamu mengetahui salahnya"
Amanah tidak sekali-kali boleh dikhianati, kalau dikhianati juga akan membawa
kesalahan yang sanggat tidak baik untuk diri kita. Pekerja yang tidak amanah
misalnya akan melakukan pekerjaan tanpa panduan dan tatatertib yang betul.
Setiap perbuatannya di pejabat sedikitpun tidak takut akan menerima balasan
daripada Allah SWT. Melakukan kerja tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan
jika berlakunya pecah amanah atau amanah dikhianati maka ketengan hatinya akan
hilang kerana takut akan bayang-bayang sendiri, tidur tidak lena dan pelbagai
lagi masalah akan terjadi.
Cabaran maha hebat bagi pekerja di zaman moden yang penuh cabaran kini.
kekuatan iman benteng kepada amalan salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya
jika beramanah dan berintegriti. Sesungguhnya niat dan minat yang mendalam
terhadap pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dengan diiringi
usaha yang berterusan akan melahirkan sikap amanah dengan sendirinya dalam diri
kita tanpa paksaan daripada faktor luaran seperti persekitaran dan desakan
ketua jabatan.
Pekerja yang minat dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja yang
diamanahkan jelas kita lihat memiliki sifat-sifat seperti rajin, menyiapkan
kerja sehingga siap, sentiasa mencari idea dan jalan penyelesaian yang terbaik,
tidak berkira masa, tenaga dan wang ringgit, akan berasa bersalah jika kumpulan
sasarnya teraniaya, dan dialah orang pertama ke depan membantu jabatan serta
sentiasa menepati kehendak peraturan dan prosedur ditetapkan organisasi, akan
berjaya di dunia dan di akhirat.
Alangkah indahnya dalam menyelusuri pentadbiran dan pengurusan pekerjaan dalam
sesebuah jabatan disulami hati-hati setiap pekerjanya dengan sifat amanah
setiap kali melangkah kaki kanan ke pintu pejabat. Bukan sahaja pekerjaan
dilakukan mencapai sasaran, memenuhi kehendak pelanggan dan jabatan malahan
akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Rahmat Allah SWT Pastinya bersama-sama
jabatan kita jika semua pekerja memiliki sifat amanah. InsyaAllah.
"Ya Allah yang Maha penyayang, tanamkanlah sifat amanah dalam hati
setiap pekerja kami, bukakanlah mata hati kami agar bersikap amanah. Berkatilah
setiap pekerjaan yang kami lakukan agar mencapai sasarannya dan memberikan
manfaat kepada golongan sasar kami". Amin.
-vf
-vf