Suburkan Kemurnian Akhlak Dalam Sesebuah Keluarga Dengan Solat Berjemaah

Solat Tiang Agama

DALAM pembinaan keluarga bahagia, akhlak adalah lambang kebahagiaan dan keharmonian. Antara tonik yang paling mujarab dalam menyuburkan kemurnian akhlak dalam sesebuah keluarga adalah solat berjemaah.
Perkara ini kurang diberi perhatian oleh ibu bapa dan dianggap mudah. Solat berjemaah adalah penawar kerana ia adalah perhubungan antara hamba dengan Allah Maha Pencipta secara langsung. 

Segala masalah sama ada perhubungan suami isteri, komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak, jalan penyelesaiannya adalah dengan mengeratkan pertalian dengan Maha Kuasa. Hal ini kerana segala masalah perlu dirujuk kepada-Nya agar jalannya akan menjadi lebih mudah dan menyenangkan. 

Selain itu, perjalanan hidup dalam keluarga perlu dilakukan secara bersama-sama seperti makan bersama dan kegiatan harian lain supaya segala permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dengan sebaiknya. Ia juga dapat mengelak anak mencari rakan sebaya untuk mendengar dan menyelesaikan masalah mereka. 

Hakikatnya, penghayatan Islam dalam kehidupan berkeluarga akan memurnikan akhlak dalam kehidupan. Seterusnya, masyarakat akan menjadi aman dan harmoni. Inilah rahsia hebat kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Dunia ini penuh dengan pancaroba. Oleh itu, pendidikan akhlak perlu maju selangkah ke hadapan bagi menangani sebaik mungkin gejala yang menjadi virus dalam masyarakat.

Permasalahan yang berlaku boleh ditangani dengan diberi nafas baru. Tindakan hendaklah dengan lebih progresif dan berkesan agar penyakit sosial dalam masyarakat tidak menjadi lebih parah.

Budaya dan adat ketimuran yang sebati dalam darah kita sejak sekian lama mendapat pengiktirafan Islam dan masyarakat dunia, seharusnya diperkukuhkan. Sehubungan itu, gerak kerja bersepadu harus dilaksanakan, selain menerapkan kesedaran dalam wacana keilmuan yang tinggi dan semangat cintakan budaya bangsa sendiri. 

Generasi yang hendak dilahirkan perlu didedahkan dengan adab, sopan santun, cintakan ilmu, semangat muhibah, kerjasama dan perpaduan.

Malangnya, ada generasi hari ini tergelincir jauh daripada syariat Islam yang membawa mereka kepada kehancuran.

Sosiobudaya yang semakin goyah ditelan zaman harus dilihat dengan lebih serius dan tindakan lebih berkesan perlu diambil bagi mengatasinya.

Punca segala permasalahan itu tidak perlu dipersalahkan kepada sesiapa. Masing-masing perlu memainkan peranan, terutama ibu bapa. Ibu bapa perlu memberi lebih perhatian terhadap kegiatan anak dan mengambil berat pergerakan mereka. 

Masyarakat juga perlu membantu dan sama-sama berganding bahu dengan ibu bapa dan pendidik ke arah penyelesaian terbaik masalah keruntuhan generasi kini. Usaha untuk merubah nasib bangsa harus dimulakan sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku terhadap mereka.

Sikap mementingkan diri sendiri perlu dilenyapkan kerana ia adalah penghalang utama dalam membentuk masyarakat madani. Sikap itu akan melahirkan masyarakat yang terasing dari dunia luar, jiran saling tidak mengenali antara satu sama lain serta hal sendiri diberi keutamaan tanpa mempedulikan keadaan dan nasib orang lain.

Lahirnya generasi pincang hari ini kerana sikap ambil mudah semua pihak, tanpa menghiraukan kesan yang bakal berlaku. Sikap berwaspada dan berhemah dalam tindakan seperti yang diajarkan oleh Islam perlu patuhi. 

Perkara ini kerana setiap langkah yang diambil tanpa panduan dan ajaran Islam sempurna akan membinasakan sesuatu umat. Contohnya, penyalahgunaan dadah di kalangan muda mudi akan mengundang kecelakaan terhadap diri. Begitu juga kegiatan seks bebas yang menyebabkan Aids.

Kesan perbuatan buruk itu sepatutnya membawa kesedaran kepada masyarakat bahawa sebarang perlakuan melanggar perintah Allah akan mengundang bahaya cukup besar dan tidak dapat digambarkan atau dijangka oleh sesiapa pun. 

Allah memberi peringatan mengenainya seperti ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan apa yang diperintahkan. (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Penegasan daripada Allah itu hanya untuk mengingatkan manusia supaya menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada melanggar perintah agama.

Mendidik manusia untuk mempunyai akhlak mulia lagi terpuji bukan suatu perkara senang. Ia memerlukan pengorbanan wang ringgit, tenaga keringat dan masa. 

Manusia yang tinggi nilai akhlak dan mulia budi pekertinya diibaratkan dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi permata dan dilontarkan ke udara menjadi kejora. 

Perumpamaan itu adalah gambaran keagungan manusia yang hidup diwarnai dengan nilai murni yang luhur dan berakhlak mulia. Nilai akhlak adalah kekuatan dalam menjana kegemilangan umat dan menjadi pemangkin kecemerlangan umat seterusnya.