"SAYANGILAH MASJID KITA"

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita 
menjadi insan bertaqwa serta selamat di dunia dan akhirat. 

Di Negeri Selangor yang tercinta ini, sekarang ini kita mempunyai jumlah keseluruhan di sembilan buah daerah sebanyak 400 buah masjid termasuklah masjid institusi pengajian dan 197 surau kebenaran solat 
Jumaat. Dengan bilangan yang agak banyak ini, sudah pastilah masjid merupakan satu institusi yang amat penting sejak dari dahulu hingga sekarang ini. Oleh itu amatlah tidak wajar umat islam mengabaikan Institusi 
masjid yang begitu banyak di Negeri ini. 

Jika kita renung sejenak, sewaktu kita mula-mula dilahirkan ke dunia ini dahulu, ibubapa kita akan ke masjid untuk berjumpa imam bagi mendapatkan atau merujuk nama yang baik-baik untuk anak kesayangan mereka. Kita juga pernah dihantar ke masjid untuk mengaji Al Quran dan juga fardhu ain. Di masjid juga ada majlis berkhatan beramai-ramai, bernikah, walimah dan banyak lagi yang menjadi nostalgia ketika berada atau bersama-sama di rumah Allah ini. 

Namun, dewasa ini kita sering alpa untuk mengutamakan masjid, mungkin akibat kepesatan arus pemodenan zaman, kesibukan tugas sama ada di pejabat mahupun di rumah tempat kita tinggal walaupun ianya berada 
tidaklah berkedudukan jauh dari urusan rutin seharian. Kita hanya sempat lalu dipinggirnya sahaja sewaktu azan dilaungkan. Kemanakah menghilangnya perasaan atau slogan yang mengatakan “Masjid adalah institusi penting?” 

Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 36 dan 37 : Yang Bermaksud;

“ (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar Dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah Ibadat Yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di 
situ juga dikerjakan Ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang Yang kuat imannya Yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” 

Kita sedia maklum bahawa masjid-masjid di negeri ini sememangnya tersergam indah, maka tanggungjawab kitalah untuk imarahkannya bukan hanya hari jumaat sahaja. Segala kemudahan telah disediakan maka apakah lagi yang menghalang kita untuk hadir berjemaah di masjid. 

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A berkata seorang lelaki buta (Ibn Ummi Maktum) telah datang kepada Nabi S.A.W lalu berkata :
" Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak mempunyai orang yang akan memimpinku ke masjid. Lelaki itu meminta Rasulullah memberi keringanan kepadanya supaya dia boleh melakukan solat di rumahnya. Maka 
baginda memberikan keringanan. Ketika lelaki buta itu mahu beredar pulang, nabi memanggilnya dan berkata: Apakah kamu mendengar azan? Lelaki itu menjawab" Ya. Jawab baginda S.A.W : Maka wajib kamu pergi solat jemaah di masjid.” (Riwayat Muslim) 

Ini menunjukkan betapa peri pentingnya kita menghadirkan diri ke masjid. Bukan sekadar itu, malah kita seharusnya melibatkan diri atau setidak-tidaknya peka terhadap program-program masjid berdekatan. Terdapat beberapa perkara yang dikenalpasti dalam kelicinan pentadbiran masjid. Antaranya; 

1) Mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab bersama, sama ada pihak AJK mahupun Ahli Kariah. Kita hendaklah berganding bahu dan mengelak daripada sebarang pergeseran dan salah faham yang berbangkit. 

2) AJK dan pegawai hendaklah mengambil panduan dalam menguruskan masjid yang dikeluarkan oleh JAIS bagi melancarkan jadual dan pengimarahan masjid. 

3) Sebarang pertelingkahan hendaklah merujuk kepada pengurusan masjid di JAIS supaya ianya tidak menjejaskan perjalanan pengurusan masjid. 

4) Pengurusan kewangan masjid hendaklah diuruskan secara telus dan bertanggungjawab dan dimanfaatkan kewangan tersebut untuk kepentingan dan faedah pengimarahan masjid. 

Kita hendaklah menjadikan masjid sebagai permata yang terpahat kukuh dihati dan sanubari kita walaubagaimana hebat sekalipun arus permodenan dan pancaroba dunia hari ini. 

Mahu tidak mahu, kita mestilah meletakkan institusi masjid ini berada di tingkat yang paling tinggi. Agensi seperti NGO, Pentadbir Daerah, Sektor Swasta, Korporat dan lain-lain adalah sangat diperlukan untuk membantu dan menyokong apa juga program yang dianjurkan oleh pihak masjid. 

Selain itu kita hendaklah peka terhadap perubahan aktiviti atau pencapaian masjid dan mereka yang dipertanggungjawabkan menguruskannya pada tahun berkenaan. Bahkan mereka yang berjaya membuat penambahbaikan haruslah diberi penghormatan dan penghargaan sewajarnya lebih-lebih lagi kepada pihak-pihak yang bekerjasama untuk mengimarahkan masjid. Misalan contoh : 

 *Dahulu, kita hanya belajar mengaji di masjid beralaskan tikar mengkuang. Kini kita boleh menikmati pembelajaran ilmu-ilmu Islam dan Al-quran bersilibus di bilik-bilik yang berhawa dingin. 

Siapakah mereka yang bertanggungjawab membuat perubahan ini? Sesungguhnya insan terpilih memakmurkan rumah Allah hanyalah mengharapkan rahmat dan redha Ilahi. Bagaimana pula dengan kita? Justeru marilah kita sama-sama melakukan muhasabah dan koreksi diri. 

Kesimpulan daripada khutbah pada hari ini dapatlah kita rumuskan;

1) Orang ramai hendaklah memberi sokongan padu kepada setiap aktiviti-aktiviti masjid seperti Keberangkatan DYMM Sultan Selangor dalam program bantuan faqir-miskin, karnival masjid, konvokesyen pengajian bersijil, kursus-kursus, kejohanan sukan antara masjid terpilih, berkhatan, perkahwinan beramai-ramai, iftar jamai’ dan banyak lagi. Ini semua adalah untuk menggalakkan anda semua mengimarahkan masjid 
 
2) Semua jemaah mestilah berusaha menghadirkan diri ke masjid sebagai rutin kehidupan harian. 

3) Para petugas masjid hendaklah mengenepikan kepentingan peribadi yang boleh mengganggu-gugat kelicinan program anjuran masjid 
 
4) Pengurusan masjid hendaklah memberi tumpuan untuk memanfaatkan segala dana masjid yang diwakaf dan didermakan oleh orang ramai dan bukan berbangga dengan banyaknya simpanan yang tekumpul tetapi hendaklah membelanjakannya secara berhemah. 

Sebahagian teks  Khutbah Jumaat 07 Februari 2014: “Sayangilah Masjid Kita”  (JAIS)